Apa yang Menarik di Cameron Highland?

Cameron Highland merupakan tanah tinggi yang menjadi tempat pelancongan yang sangat popular di Malaysia. Cuaca serta suhu yang berbeza dengan kawasan lain di Malaysia, ianya telah menjadi tumpuan pelancong untuk bercuti di sini. Dan Cameron Highland sememangnya menjadi tempat yang wajib dikunjungi apabila anda datang ke Negeri Pahang. Suhu di Cameron Highland adalah sekitar 25 ° C pada waktu siang dan 18 ° C pada waktu malam. Suhu seperti ini sangat sesuai untuk sayuran dan buah-buahan benua yang perlukan suhu yang rendah untuk hidup seperti strawberi. Panorama di Cameron Highland juga sangat cantik dan nyaman seperti berada di Luar Negara. Dan semestinya terdapat pelbagai destinasi-destinasi yang menarik di sini.

1. Ladang Teh Boh Sungei Palas

Credit : Unsplash

Apabila sebut sahaja nama Cameron Highland pasti anda akan terbayang ladang teh hijau yang luas, ini kerana Cameron Highland memang dikenali dengan pengeluaran tehnya. Boh merupakan pengeluar terbesar di Malaysia dan mereka memiliki 3 ladang teh terkenal di Cameron Highland yang terletak di Ringlet dan Brinchang.

Ladang teh yang terletak di Sungai Palas ini mempunyai keluasan 8 ribu ekar dan merupakan ladang teh yang terluas di Asia Tenggara. Di sini juga pengunjung boleh melawat kilang teh sambil mempelajari sedikit sebanyak tentang proses membuat uncang Teh Boh. Pengunjung juga boleh berehat sambil menghirup satu cawan teh boh panas dan menikmati pelbagai jenis pencuci mulut di kafe yang terdapat di situ.

2. Raaju’s Hills

Credit : Unsplash

Cameron Highlands adalah pusat pengeluaran strawberi yang paling terkenal di Malaysia, bersama dengan ladang-ladang teh dan sayur-sayuran yang sangat segar. Iklim yang sejuk menjadikannya sesuai untuk menanam strawberi sepanjang tahun di kawasan dataran tinggi ini. 

Raaju’s Hill adalah salah satu ladang strawberi yang terkenal di Cameron Highland. Pelancong boleh mengunjungi ladang ini kerana tiket masuk adalah percuma dan setiap orang yang berkunjung boleh memetik buah strawberi disini dan juga melawat ladang strawberi dan kilang pemprosesan yang akan menjadi salah satu pengalaman luar biasa yang akan dirasai oleh pengunjung. Pengunjung juga boleh membeli produk yang diproses khas dari kilang ini. Harga di ladang strawberi sangat murah sehingga anda boleh membeli banyak untuk dibawa pulang.

3. Taman Agroteknologi MARDI

Credit : peopleexpresstravel

Taman Agroteknologi MARDI merupakan pusat penyelidikan MARDI yang tertua di Malaysia. Ia terbahagi kepada 6 bahagian utama iaitu Rose Garden, Herb Garden, Orchid Garden, English Garden, Research Centre dan kedai cenderamata. Di sini terdapat 40 jenis bunga ros, 10 jenis strawberi, dan pelbagai pokok buah-buahan yang beraneka jenis.

Selain daripada melawat serta melihat pelbagai tumbuhan, di sini juga terdapat bangunan kolonial yang tersergam indah yang menjadikan tempat ini yang sesuai untuk mengambil gambar kenang-kenangan. Namun, yang lebih menarik terdapat di sini adalah serunding strawberi dan aiskrim strawberi yang asli. Sesuai sangat untuk anda jadikan kudap-kudapan atau dibawa pulang sebagai ole-ole untuk rakan-rakan. Harga tiket yang dikenakan kepada pengunjung hanyalah RM5 bagi dewasa dan RM3 bagi kanak-kanak. 

4. Green View Garden

Credit : vkeong

Green View Garden merupakan sebuah taman yang dipenuhi dengan landskap berwarna-warni yang menceriakan. Tanaman di taman ini sangat sinonim dengan nama Cameron Highland iaitu sayur-sayuran yang ditanam melalui kaedah hyroponik, bunga-bungaan, buah strawberi dan sebagainya. Selain itu, disini juga terdapat pelbagai jenis haiwan seperti ikan, kura-kura, itik dan arnab. Anda boleh memberi makan dan menyentuh arnab di sini. Selain itu, terdapat juga aktiviti-aktiviti lain seperti memetik strawberi, go-kart dan aktiviti paddle boat juga disediakan untuk kanak-kanak naik.

Sebelum pulang, anda juga boleh membeli sedikit buah tangan atau cenderamata yang terdiri daripada pokok-pokok bunga, produk lavendar dan banyak lagi. Green View Garden ini dibuka pada setiap hari dan mula beroperasi pada pukul 9.00 pagi – 6.30 petang dan tiket masuk adalah percuma.

5. Pasar Malam Cameron Highland

Credit : maisinggah.com

Tempat menarik di Cameron Highland yang tidak boleh dilupakan ialah Pasar Malam Cameron Highland yang dulunya dikenali sebagai Pasar Malam Brinchang, Ia telah berpindah dari pekan Brinchang ke lokasi baru iaitu di Golden Hills. Mengekalkan konsep yang sama iaitu gerai-gerai jualan yang memenuhi kiri kanan jalan seperti pasar-pasar malam lain. Manakala barangan yang dijual pula merangkumi produk tempatan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, makanan dan pakaian.

Tarikan pasar malam ini ialah harga barangan yang dijual lebih murah berbanding tempat lain di Cameron Highland. Anda boleh membeli buah tangan dan cenderahati seperti t-shirt, pokok bunga, kaktus dan lain-lain untuk dibawa pulang. Jika anda tidak tahu lokasi kedai makan atau restoran sedap di Cameron Highland, beli saja makanan di pasar malam ini. Pasar Malam Golden Hills Cameron Highland ini dibuka pada hari Jumaat dan Sabtu sahaja. Pada musim cuti sekolah ia dibuka setiap hari. Waktu operasi ialah dari pukul 4 petang hingga 11 malam.

Terdapat banyak lagi tempat menarik yang boleh anda kunjungi di Cameron Highland. Semoga artikel ini dapat membantu anda untuk bercuti ke Cameron Highland, Pahang.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *