Negara Jepun adalah sebuah negara yang terletak di kawasan hemisfera utara. Negara ini secara amnya adalah sebuah negara 4 musim iaitu musim sejuk (winter), bunga (spring), panas (summer) dan luruh (autumn).
Namun begitu, disebabkan negara ini mempunyai kedudukan geografi yang unik iaitu memanjang dari utara ke selatan, ini menjadikan tempoh sesuatu musim itu bermula dan berakhir adalah berbeza mengikut tempat. Ini menjadikan pengalaman mengembara ke Jepun sangat unik!
Sebagai contoh, Hokkaido yang merupakan negeri paling utara di Jepun mengalami musim sejuk yang lebih panjang berbanding negeri lain. Musim sejuk di Hokkaido bermula seawal pertengahan November dan berlarutan sehingga penghujung Mac.
Video di bawah di rakam oleh Crew kami ketika trip Winter Hokkaido pada bulan Mac 2019.
Mengapa kami katakan pengalaman mengembara ke Jepun adalah unik? Kerana jika anda ke Tokyo pada bulan Mac (dimana pada ketika ini sudah masuk awal musim bunga), anda masih berpeluang main salji di Sapporo, Hokkaido. Bagi kami, bulan Mac adalah waktu terbaik untuk bermain salji di Hokkaido kerana suhu tidak terlalu sejuk dan salji tidak terlalu tebal pada ketika ini.
Rancang Perjalanan, Pilih Musim Terbaik ke Jepun
Kami akan ceritakan waktu dan musim terbaik untuk ke Jepun. Ramai orang salah pilih waktu dan musim dengan tidak mengambil kira faktor cuaca, suhu dan kelebihan tertentu pada setiap musim.
3 musim terbaik untuk berkunjung ke Jepun adalah :
- Musim sejuk
- Musim bunga (sakura)
- Musim luruh
MUSIM SEJUK
Di Tokyo & Osaka sebenarnya jarang turun salji yang lebat terutamanya di kawasan bertanah rendah. Jika anda berminat untuk bermain salji (ski / snowborading) boleh pergi ke kawasan Ski Resort yang terdekat seperti :
- Gala Yuzawa Ski Resort (1 jam 30 minit dari Tokyo)
- Mount Rokko Ski Resort (45 minit dari Osaka)
Bagi anda yang teringin untuk merasai pengalaman musim sejuk di Jepun, anda boleh pilih bulan berikut (berbeza mengikut destinasi) :
- Tokyo, Osaka dan kawasan sekitarnya (penghujung Disember hingga awal Mac)
- Sapporo Hokkaido dan kawasan sekitarnya (penghujung November hingga penghujung Mac)
MUSIM BUNGA
Bunga sakura atau ‘cherry blossom’ sememangnya sinonim dengan negara Jepun. Orang Jepun menyambut kehadiran musim bunga sakura ini dengan pelbagai aktiviti dan sambutan yang cukup hebat. Sehinggakan, wujudnya pelbagai jenis snek makanan dan minuman seperti Kit Kat edisi sakura, Coke edisi sakura dan macam-macam lagi.
Kehadiran bunga sakura ini hanya mekar sekitar 10 hari sahaja dalam setahun. Ini menjadikan, masyarakat di sini begitu tertunggu-tunggu kehadiran bunga ini yang dianggap seperti ‘rahmat’ selepas mengharungi musim sejuk selama berbulan-bulan.
Waktu terbaik untuk melihat sakura di Jepun :
- Tokyo, Osaka dan kawasan sekitarnya (penghujung Mac hingga awal April)
- Fuji dan kawasan sekitarnya (1 minggu selepas bermulanya musim sakura di Tokyo)
- Sapporo, Hokkaido dan kawasan sekitarnya (penghujung April hingga awal Mei)
MUSIM LURUH
Musim luruh mengikut definasi kami adalah musim dimana daun sudah berubah warna dari hijau ke kuning atau oren. Kebanyakan rakyat Malaysia pergi ke Jepun pada bulan September atau Oktober mengharapkan suasana musim luruh yang sebegini, namun pulang dalam kehampaan kerana suhu pada ketika ini masih panas dan daun masih belum kekuningan.
Musim luruh di kawasan Tokyo, Osaka dan kawasan sekitarnya bermula pada pertengahan November hingga awal Disember. Ramai ingat bulan Disember sudah masuk musim sejuk, dimana hanya tinggal ranting sahaja. Di Hokkaido pula, musim luruh bermula pada awal Oktober hingga hujung Oktober. Pastikan anda rancang dan pilih tarikh yang sesuai sebelum berkunjung ke Jepun!
Waktu terbaik untuk melawat Jepun ketika musim luruh :
- Tokyo, Osaka dan kawasan sekitarnya (pertengahan November hingga awal Disember)
- Sapporo, Hokkaido dan kawasan sekitarnya (awal Oktober hingga penghujung Oktober)
Anda belajar sesuatu yang baru? Jika ada sebarang pertanyaan, boleh tinggalkan komen di bawah ya.
Rancang pengembaraan anda ke Jepun, jangan salah pilih tarikh.