Pasti ramai di kalangan rakyat Malaysia yang akan bangga apabila menyedari bahawa terdapat sebuah pulau di Jerman yang merupakan milik salah satu syarikat di Malaysia. Tempat peranginan ini bukan sahaja telah menarik perhatian penduduk tempatan malah pengunjung di seluruh Eropah termasuk dari Poland, Republik Czech dan Norway. Untuk pengetahuan anda, Kepulauan Tropika ini pernah memiliki rekod dunia untuk taman air tertutup terbesar. Malah, ianya juga merupakan resort pulau tropika terbesar di Eropah. Pulau yang terletak di Krausnick, Jerman telah dibina di bawah sebuah syarikat di Malaysia iaitu Tanjong PLC.
Siapakah mereka?
Tanjung PLC merupakan sebuah kumpulan yang dikaitkan dengan hartawan Ananda Krishnan yang memiliki 75% pegangan saham secara tidak langsung dalam projek pusat peranginan tersebut. Malaysia mempunyai pemilikan yang tinggi terhadap kepulauan ini kerana ianya merupakan pelaburan Malaysia terbesar di Jerman.
Fakta Menarik mengenai pulau tropika ini!
Pulau ini dikenali dengan nama “Tropical Island Resort”. Pada asalnya, struktur bangunan ini dibina untuk dijadikan gudang bagi melindungi kapal-kapal terbang yang besar. Namun projek tersebut tidak dapat dijalankan. Kegagalan projek tersebut di Jerman pada tahun 2003 memberi gambaran idea yang sangat menarik kepada dua buah syarikat untuk mencipta pusat peranginan ini kerana mereka merasakan kawasan ini berpotensi untuk tujuan pelancongan. Hasil gabungan idea dari Colin Au’s, CEO salah satu sebuah syarikat perkapalan yang mempunyai pengalaman dalam membawa pelancong ke wilayah Tropika dan syarikat Tanjong PLC, mereka berjaya mengubah gudang tersebut bersama-sama bagi menempatkan kawasan hutan tropika yang meliputi pelbagai warisan budaya, seni, makanan. Pusat peranginan tersebut juga telah beroperasi hampir 18 tahun.
Tropical Island Resort yang mempunyai keluasan lebih dari 600 hektar ini juga mampu untuk menampung seramai 6,000 pengunjung dalam satu masa. Hal ini kerana, keadaan fizikal berbentuk kubah yang sangat besar dikatakan mampu memenuhi seluruh menara Eiffel.
Reka cipta pusat peranginan tersebut pula memberikan gambaran tentang budaya Asia. Sebagai contoh terdapat pintu gerbang yang berkonsepkan Bali, Indonesia dan rumah panjang di Borneo. Resort ini juga mengandungi pokok dan tumbuh-tumbuhan dari hutan hujan Amerika Selatan, Afrika, Asia dan Australia.
Terdapat juga aktiviti seperti payung terjun, taman tema air berkonsepkan
“Whitewater River” termasuklah menara gelongsor air tertinggi di Jerman dengan ketinggian sehingga 27 meter, laluan untuk mengelilingi kawasan hutan hujan dan banyak lagi.
Kemudahan lain yang disediakan kepada pengunjung termasuklah penginapan hotel, kompleks spa, padang golf kecil, restoran, kedai menjual kraftangan seperti batik dan kedai-kedai cenderamata.
Sudut info:
Pada sekitar tahun 2018, Jutawan T Ananda Krishnan bersetuju untuk menjual pusat peranginan ini kepada Parques Reunidos Servicios Centrales SA, pengendali taman hiburan berpangkalan di Madrid dengan harga 226 juta euro (AS$256 juta), iaitu sekitar RM1.07 bilion. – BH Online