Di Malaysia, kita mempunyai tradisi tersendiri semasa di bulan Ramadan. Antaranya seperti Bazar Ramadan yang menyediakan pelbagai jenis juadah berbuka puasa, orang ramai bergotong-royong membuat serta mengagihkan bubur lambuk dan sebagainya. Begitu juga di negara Turki yang merupakan diantara negara yang mempunyai jumlah penduduk Muslim terbesar di Eropah. Mereka juga mempunyai kelainan dan keunikan tradisi tersendiri sepanjang bulan Ramadan, antaranya:

1. Kejut Sahur

Di Turki, anda mungkin akan dikejutkan dengan bunyi gendang (Drum) atau dipanggil Davul. Pemain drum ini masih boleh dilihat dan didengari di banyak tempat sehingga hari ini dan kebiasaanya mereka akan diberikan ganjaran seperti hadiah, wang atau pemberian daripada penduduk tempatan sebagai tanda menghargai usaha mereka pada awal pagi tersebut.

2. Lampu Menara dinyalakan di setiap Menara Masjid

sumber: eurasianet.org

Pada hari biasa, lampu menara masjid hanya akan dinyalakan pada Jumaat malam sahaja tetapi kini dinyalakan selama 30 hari sepanjang bulan Ramadan. Kraf Mahya yang bermaksud “menulis di langit” juga merupakan satu tradisi dimana lampu-lampu tersebut akan digantung di antara menara masjid dengan ucapan ‘Selamat Datang Ramadan’ atau ucapan kesyukuran yang lain.

3. Bazar yang dianjurkan oleh Kerajaan

Bagi menyambut bulan Ramadan yang mulia ini, kerajaan Turki mengadakan Bazar Ramadan di sesetengah tempat. Bazar Ramadan ini kebiasaannya menganjurkan jualan buku-buku Islam, lukisan bertemakan Ramadan, seramik dan macam-macam lagi. Untuk acara-acara yang diadakan di Bazar pula biasanya terdapat juga persembahan serta pengajian Islam yang akan dijalankan oleh tokoh-tokoh agama.

4. Kedai/Gerai Makanan beroperasi hampir 24 jam

Di Malaysia, kedai makan kebanyakkannya akan ditutup pada waktu siang dan akan kembali dibuka pada waktu berbuka puasa dan keatas. Tetapi berbeza pula di Turki, kedai makan beroperasi seperti biasa pada waktu siang bahkan tidak ada peraturan ataupun hukuman dijatuhkan kepada Muslim yang makan di khalayak ramai pada bulan Ramadan.

Tradisi lain yang diamalkan di Turki kebanyakkannya tidak jauh berbeza dengan kita di Malaysia. Antaranya seperti Bazar Ramadan yang menjual juadah berbuka, mengerjakan solat tarawih berjemaah di masjid, bertukar-tukar juadah sesama jiran, dan juga berbuka puasa beramai-ramai di masjid mahupun di taman.

Walaupun tradisi dan budaya masing-masing berbeza, tetapi matlamat dan tujuan kita adalah sama. Semoga Ramadan kali ini membawa seribu kerahmatan dan keinsafan kepada semua umat Islam. Amin, InsyaAllah.

Kongsi di media sosial :

WhatsApp
Facebook
Twitter

Baca artikel lain