Top 5 Pulau yang Menarik untuk dikunjungi di Malaysia

Malaysia adalah sebuah negara yang memegang reputasi sebagai syurga bagi pulau-pulau yang mempesonakan. Yang menjadikan pulau-pulau ini lebih istimewa adalah kerana keindahannya yang terjaga dan menyebabkan ramai pelancong-pelancong dari luar negara juga tertarik untuk melancong. Buat anda yang ingin mencari tempat untuk bercuti atau tenangkan diri, anda tidak perlu pergi jauh kerana terdapat pulau-pulau yang boleh anda nikmati keindahan alam semulajadi ini. 

Pulau Kapas

Credit : Libur.com

Pulau Kapas terletak dalam daerah Marang, Terengganu Darul Iman. Memang tidak asing lagi dengan kecantikan dan keindahan pulau ini dalam kalangan penggemar pulau peranginan di Malaysia. Ia dipanggil Pulau Kapas oleh masyarakat tempatan kerana pasir pantainya yang putih bak kapas. Pulau ini mempunyai keindahan laut yang sangat cantik dan sangat sesuai untuk para pelancong melakukan aktiviti scuba diving supaya dapat melihat keindahan dasar laut. Pelbagai aktiviti yang menarik dapat dilakukan di sini seperti scuba diving, snorkeling, berkayak, memancing, jungle trekking dan sebagainya. Aktiviti terkenal di sini ialah mencandat sotong yang rancak dilakukan pada bulan Jun-Julai setiap tahun.

Pulau Mataking

Credit : Borneocalling.com

Kepulauan Borneo sememangnya kaya dengan pulau-pulau yang sangat cantik dan popular yang pastinya memberi panorama yang mengagumkan. Salah satunya ialah Pulau Mataking. Pulau ini terdiri daripada dua buah pulau iaitu Pulau Mataking Besar dan Pulau Mataking Kecil yang terletak berhampiran dengan sempadan Filipina. Pulau Mataking adalah rumah kepada ‘Pejabat Pos Bawah Air’ pertama di Malaysia dan dihubungkan ke Pulau Mataking Kecil melalui tebing pasir yang sempit.

Pulau Mataking yang terletak kira-kira 45 minit dari Pulau Sipadan ini juga sering menjadi destinasi percutian di kalangan orang Eropah untuk berbulan madu kerana resortnya yang cantik menghadap laut. Seperti di kebanyakan pulau lain di Sabah, Pulau Mataking juga mempunyai kawasan menyelam untuk melihat hidupan marin dan terumbu karang dan yang paling menarik adalah anda berpeluang berjumpa dengan paus jerung.

Pulau Rawa

Credit : Rawaislandresort.com

Pulau Rawa merupakan sebuah pulau kecil, terletak di Johor dan 16 Km dari Mersing. Yang menariknya di pulau ini, pulau ini sangat terjaga dan mendamaikan, air laut yang jernih kebiru-biruan, pasir yang memutih dan menjadikan pulau ini sebagai tarikan utama di Johor. Dikelilingi oleh lautan biru yang kaya dengan hidupan marin dan batu karang yang berwarna-warni dan hutan yang menghijau untuk anda teroka. Pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan pelancong di sini antaranya ialah jungle trekking, snorkeling, scuba diving, berkayak dan banyak lagi. 

Pulau Pangkor

Credit : Summerbayresort.com

Pulau Pangkor adalah sebuah pulau yang padat dengan sejarah kerana pada suatu ketika dahulu ia pernah dijadikan sebagai kawasan kubu pertahanan pihak Belanda daripada serangan musuh. Disebabkan itu, terdapat banyak lokasi-lokasi bersejarah yang menarik boleh dikunjungi di pulau ini seperti kota Belanda, Batu Bersurat dan kawasan Perkuburan Belanda. Aktiviti lain yang boleh dibuat di sini adalah menyewa basikal atau motor untuk melihat keindahan dan keharmonian sekitar pulau dengan lebih meluas lagi, mencandat sotong, berjungle trekking, snorkeling dan banyak lagi. 

Pulau Pom-Pom

Credit : Unsplash

Comel betul namanya kan? Pulau ini terbahagi kepada 2 bahagian iaitu Pulau Pom Pom Kecil dan Pulau Pom Pom Besar. Tapi sebenarnya kedua-duanya terletak di dalam satu pulau yang kecil. Kedua-dua bahagian ini akan habis anda terokai dalam hanya sekitar 30 minit berjalan kaki. Dasar perairannya pula, dikatakan cukup kaya dengan hidupan marin dari spesies-spesies yang unik. Berdasarkan kajian, bilangan spesies ikan yang terdapat di sini adalah lebih daripada 220 kesemuanya, manakala terumbu karang pula lebih daripada 250 spesies.

Bukan itu sahaja tarikannya, pulau ini turut menjadi lokasi penyu-penyu untuk mendarat dan menetaskan telurnya dari bulan Mei hingga September. Pulau yang terletak hanyalah 30 km dari Pekan Semporna ini tidaklah selengkap pulau terkenal yang lain, dan hanya terdapat sebuah tempat penginapan yang ditawarkan di sini. Oleh sebab itu, kalau anda merancang untuk menikmati percutian di pulau ini, booking penginapan anda terlebih dahulu dan secepat yang mungkin.

Tidak disangkal lagi bahawa negara yang kecil di peta dunia ini cukup kaya dengan keindahan alam semula jadi seperti pulau-pulau tropika yang indah dan memukau yang sesuai untuk dijadikan destinasi percutian anda bersama keluarga, pasangan atau bersama rakan-rakan. 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *